Sunday 23 November 2014

Pentingkah Kolostrum untuk si bayi?

Pentingkah Kolostrum untuk si bayi? 

Kolostrum adalah cecair emas yang dihasilkan dalam masa lebih kurang 10 hari yang pertama. Kolostrum kaya dengan protein dan antibodi. Kuantiti kolostrum ini biasanya hanya sedikit. Namun, kuantiti itulah yang diperlukan oleh bayi dalam 2 hingga 3 hari pertama dalam hidupnya.

Percaya atau tidak...
Kolostrum sangat penting dalam pembentukan penghadang imunisasi si bayi seumur hidupnya.

Sejurus melahirkan anak, kita disarankan untuk terus menyusukan anak untuk merangsang pengeluaran susu. Ya, bergantung kepada rezeki masing-masing, ada yang dah mempunyai susu semasa mengandung lagi, dan ada yang belum ada selepas sehari atau dua hari selepas bersalin.

Lazimnya, di hospital kerajaan, sekiranya bersalin normal, bayi akan terus diserahkan kepada si ibu untuk disusukan sejurus ia dilahirkan. Manakala, berbeza di hospital swasta (berbeza mengikut hospital) si ibu perlu meminta si anak untuk disusukan atau jururawat akan tanya si ibu terlebih dahulu. 

Amat jarang bagi seseorang wanita untuk tidak dapat menyusukan anak. Persepsi ini perlu diubah kerana ia mempengaruhi kuasa minda yang perlu berfikir secara positif.

Secara amnya, semasa ibu mengandung, payudara akan mempunyai alveoli, iaitu kelenjar penghasilan susu. Sesudah bersalin, apabila bayi menyusu, secara tidak langsung memberi tekanan kepada areola, dan akan menghasilkan pengeluaran susu.

 Saraf akan menghantar mesej kepada otak untuk mengeluarkan dua hormon iaitu : 
- OXYTOCIN - yang menyebabkan susu dikeluarkan ( reflects pancutan atau milk - ejection reflex)
-PROLACTIN - yang menstimulasikan payudara agar menghasilkan lebih banyak susu